May 3, 08 2:45pm
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang bersetuju menerima pakai Akta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara 2007 (NCIA) demi pembangunan dan kemajuan negeri itu di masa hadapan.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Exco setelah penelitian terperinci dijalankan selama dua bulan.
"Keputusan ini juga sebagai tanda kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan pusat dalam usaha memajukan dan membangunkan Pulau Pinang demi faedah rakyat Pulau Pinang," katanya.
Lim memberitahu pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Pertubuhan Perancang Malaysia dan menerima kunjungan wakil Pertubuhan Jurutera Malaysia di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.
Menurut laporan Bernama, NCIA ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin diwartakan pada 14 Februari lalu untuk dikuatkuasakan pada 1 April lalu.
Lim berkata, beliau akan memaklumkan secara bertulis mengenai penerimaan NCIA itu kepada perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ditanya sama ada Pulau Pinang negeri pertama di wilayah utara yang bersetuju menerima pakai akta tersebut, Lim berkata :"Itu saya tak pasti, tapi kerajaan negeri telah putuskan untuk menerimanya".
Isu penyelewengan tanah
Terdapat empat negeri yang terlibat dengan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Perak dan Kedah juga diperintah oleh Pakatan Rakyat.
NCER dianggotai oleh 11 orang termasuk perdana menteri dan timblannya, menteri besar dan ketua menteri dari empat negeri yang terlibat dengan NCER, dua menteri persekutuan, seorang pegawai kerajaan, dua wakil sektor swasta yang berpengalaman yang dilantik oleh perdana menteri.
Ketika diminta mengulas isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang oleh pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini,
Lim berkata beliau bersetuju untuk mengadakan perbincangan secara tertutup dengan bekas timbalan ketua menteri, Datuk Abdul Rashid Abdullah.
"Saya menerima cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Seri dr Hilmi Yahya dalam laporan akhbar hari ini yang mahukan isu itu dibincang secara tertutup," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini mendakwa terdapat penyelewengan tanah yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan negeri sebelum ini yang bernilai puluhan juta ringgit.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan ketua menteri I, Mohd Fairus Khairuddin ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment