Apr 29, 08 3:23pm
Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) kecewa dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelantikan anggota majlis pihak berkuasa tempatan negeri itu yang dianggap "tidak demokratik, kurang rundingan dengan pihak awam dan tidak telus."
Pakatan untuk Urus Tadbir Baik (CGG), gabungan 55 NGO, berkata pelantikan itu memberatkan kumpulan perniagaan dan membelakangkan wakil-wakil NGO.
"CGG kecewa dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melantik ke majlis pihak berkuasa tempatan 36 anggota parti politik yang diragui kewibawaan mereka sebagai pemimpin masyarakat.
"Tambahan pula, daripada sejumlah tujuh wakil tanpa parti politik, perwakilan berlebihan yang diberikan kepada kumpulan perniagaan (lima anggota) berbanding kumpulan NGO (dua anggota) sama sekali tidak boleh diterima," kata jurucakapnya Yap Swee Seng hari ini.
"Cara kerajaan Pulau Pinang melantik anggota majlis pihak berkuasa tempatan tidak demokratik, kurang rundingan dengan pihak awam dan tidak telus."
Yap, yang juga pengarah eksekutif Suaram, berkata amalan di Pulau Pinang itu tidak sewajarnya ditiru oleh tiga lagi negeri Pakatan Rakyat - Selangor, Perak dan Kedah.
Sambil memuji langkah Selangor membuka ruang perundingan dengan NGO seperti janji menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 16 April, CGG juga senang dengan komitmen negeri itu untuk memperkenalkan enakmen kebebasan maklumat dan badan hisbah.
"CGG melihat (komitmen negeri) ini sebagai satu permulaan yang baik untuk kerjasama antara kerajaan Selangor dengan NGO," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
"CGG juga gembira menteri besar bersetuju mengadakan pertemuan berkala agar dialog antara dua pihak itu akan berlanjutan. Menteri besar akan bertemu lagi dengan CGG dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
"Dalam hal ini, kerajaan Selangor telah menunjukkan jalan untuk dicontohi oleh semua kerajaan negeri."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment