By Nash Rahman | Apr 21, 08 6:32pm
Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Mohd Shariff Omar hari ini menafikan laporan yang mengatakan beliau telah dijemput menyertai pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
Perkara itu dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh, yang memetik sumber yang mengatakan jemputan telah dibuat kepada bekas ahli parlimen Tasek Gelugor itu.
Shariff yang juga ketua Umno bahagian Tasek Gelugor, menafikan perkara itu dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini petang ini.
Beliau yang tidak dipilih mempertahankan kerusi parlimennya dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, juga menafikan desas-desus yang beliau akan menyertai PKR.
Semalam, bekas setiausaha agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon, yang bersara dari politik tiga minggu lalu, dilantik sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang.
Shariff menjawab 'tidak benar' apabila Malaysiakini mengemukakan dua soalan tersebut kepadanya melalui SMS.
Penyokong terkejut
Beliau tidak dipilih mempertahankan kerusinya untuk memberi laluan kepada menteri kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bertanding di situ.
Shariff berkhidmat di kawasan berkenaan selama 26 tahun - tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan tiga penggal sebagai ahli parlimen.
Justeru ramai penduduk di kawasan ini, terutama penyokong Shariff terkejut apabila beliau tidak dipilih mempertahankan kerusi Tasek Gelugor dalam pilihanraya umum lalu.
Dalam pilihanraya umum 2004, Sharif mempertahankan kerusi parlimen Tasek Gelugor dengan majoriti 10,183 undi.
Walaupun pemilihan Nor Mohamed tidak disenangi sebahagian ahli Umno di bahagian tersebut, tetapi beliau memenangi kerusi tersebut.
Bagaimanapun, majoritinya yang diperolehi menteri kewangan kedua itu, merosot 50 peratus kepada 4,547 undi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment