Wednesday, May 14, 2008

Lim dituduh cuba gugat Umno - Malaysiakini

Muda Mohd Noor | May 14, 08 4:52pm

Beberapa pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa ketua menteri, Lim Guan Eng cuba mewujudkan suasana syak wasangka sehingga berlaku tuduh menuduh di kalangan mereka

Mereka juga menganggap kenyataan Lim bahawa seorang pemimpin veteran Umno bersetuju menerima tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri, sebagai khabar angin yang tidak berasas dan tidak boleh dipercayai.

Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Fadzir berkata, Lim (foto) mahu mengacau parti lain untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli Umno negeri.

"Dia tidak membuat kerja tetapi sebaliknya mahu Umno berpecah belah dan menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan penyokong dan ahli.

"Saya cabar jika benar ada pemimpin Umno yang telah menyertai kerajaan negeri, Lim umumkan nama pemimpin tersebut untuk pengetahuan umum.

"Beliau tidak perlu bersembunyi atau merahsiakannya jika apa yang dicakapkan itu benar. Usah membuat orang ramai menjadi keliru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Musa berkata, pihaknya akan terus memantau perkara tersebut di samping mengenalpasti pemimpin yang dimaksudkan itu jika ianya benar.

Khabar angin

"Saya dan beberapa rakan lain telah menghubungi para pemimpin yang disyaki tetapi mereka menafikan," katanya.

Sementara itu, ketua wanita Umno negeri, Datuk Jahara Hamid berkata, dakwaan bahawa ada pemimpin veteran Umno telah menyertai kerajaan negeri adalah rekaan dan khabar angin.

Katanya, cerita tersebut sama seperti ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan mahu parti ke Pakatan Rakyat tetapi ia hanya khabar angin semata-mata.

"Ini cerita politik sahaja kerana kedudukan sebenarnya, tiada seorang pun pemimpin Umno yang berbuat demikian," katanya lagi.

Manakala ketua pemuda Umno bahagian Bukit Mentajam, Ramlan Ishak berkata, beliau telah bertanyakan mengenai perkara tersebut kepada beberapa pemimpin veteran Umno tetapi semuanya menafikan beliau berbuat demikian.

Katanya, beberapa nama dikaitkan dengan berita tersebut, termasuk Tan Sri Khalid Ahmad, seorang veteran Umno negeri itu, tetapi beliau telah menafikannya.

"Begitu juga dengan beberapa pemimpin veteran lain seperti Datuk Seri Mohd Shariff Omar dan Datuk Seri Ibrahim Saad (ketua Umno Batu Kawan). Mereka juga telah menafikannya," katanya lagi.

'Terima tawaran'

Beliau berkata, pemimpin yang dimaksudkan oleh Lim itu mungkin kawan-kawan rapat bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahad lalu, Lim mengesahkan bahawa seorang pemimpin veteran Umno telah menerima tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata pemimpin itu menerima tawaran tersebut setelah meletak jawatannya dalam Umno.

"Kami menawarkan beliau untuk menyertai kami dalam kerajaan negeri demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Saya akan membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara itu dan akan memberitahu nama pemimpin itu pada masa yang sesuai nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan pusat khidmat DAP Perai hari ini.

Menurut laporan Bernama, Lim berkata surat pelantikan telah diserahkan kepada pemimpin itu.

Beliau berkata pemimpin itu akan menyertai kerajaan negeri dalam tempoh terdekat ini, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai jawatan yang ditawarkan.

1 comment:

Ahmad said...

quote "Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Fadzir berkata, Lim (foto) mahu mengacau parti lain untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli Umno negeri."

I dont think Lim have to do anything as UMNO themselve are fighting. Memecahbelah kan perpaduan UMNO hanya akan berlaku disebabkan ahli-ahli mereka sendiri. Orang lain tidak perlu melakukan apa-apa.